LightReader

Chapter 1 - Prolog

WILAYAH KERAJAAN FRANCE BARAT, 884 MASIHI

Langit barat mula berwarna jingga ketika rombongan berkuda itu menempuh jalan berbatu dari Josesselin menuju markas di Vannes. Angin laut berhembus membawa bau garam dan debu besi dari perisai para pengawal yang lengkap bersenjata.

Di barisan hadapan, Putera Hugh, pewaris takhta Kerajaan Bretagne, menunggang kudanya dengan tegap. Di belakangnya, tiga puluh orang pengawal mengiringi — wajah mereka tegang, pakaian perang mereka dilumur debu perjalanan.

Tiba-tiba, Ketua Pengawal Aldric memacu kudanya ke hadapan.

“Tuanku! Mohon tunggu!”

Putera Hugh menarik tali kekang kudanya. Kuda itu meringkik kecil, dan debu halus berterbangan di sekelilingnya.

“Ada apa, Aldric?” tanya baginda dengan nada tenang namun tajam.

“Tuanku, hari makin gelap. Patik bimbang kita tidak sempat tiba di Vannes sebelum malam. Patik sarankan kita cari tempat untuk bermalam.”

Putera Hugh menghela nafas panjang, memandang sekeliling — barisan pengawalnya tampak letih, wajah mereka redup diterangi cahaya senja.

“Aldric, kamu tahu wilayah terdekat?”

“Maaf, Tuanku. Patik tidak tahu.”

“Ada sesiapa tahu?” suara Putera Hugh bergema di antara barisan pengawal.

Seorang pengawal muda ke hadapan, suaranya yakin.

“Tuanku, jika patik tidak silap, ini wilayah La Fertilité.”

“La Fertilité...”

Putera Hugh menoleh ke arah Aldric. “Kamu tahu siapa penguasanya sekarang?”

Aldric berfikir sejenak.

“Patik tidak mengenali penguasa baru, Tuanku. Tapi penguasa lamanya... kalau tak silap, Count Verdent.”

“Count Verdent?” Putera Hugh mengusap dagunya. “Kamu tahu jalan ke istana wilayah ini?”

“Tahu, Tuanku.”

“Bagus. Kita ke sana. Mungkin mereka sudi memberikan kita tempat berteduh.”

Dengan itu, rombongan kembali bergerak, derapan kaki kuda mengisi senja yang semakin muram.

Setelah hampir sejam, mereka tiba di wilayah La Fertilité — namun suasananya ganjil.

Hening.

Sepi.

Tidak ada seorang pun penduduk kelihatan.

Yang ada hanyalah burung-burung gagak berterbangan di udara, bersahutan dengan suara serak yang menyeramkan. Bau busuk menusuk hidung — bau daging busuk dan darah lama.

Putera Hugh menutup hidungnya, wajahnya berkerut.

“Aldric, Patik rasa ada sesuatu tak kena di sana. Baunya sungguh busuk. Patik arahkan kamu bawa sepuluh orang pengawal, cuba kamu periksa kawasan itu.”

“Baik, Tuanku.”

Aldric segera memacu kudanya bersama beberapa pengawal menuju ke arah penempatan berhampiran istana batu.

Putera Hugh menunggu di puncak berbukit bersama baki pengawalnya. Hanya deru angin menemani mereka.

Beberapa detik kemudian, tiga penunggang kuda kembali dengan wajah cemas.

Salah seorang segera turun, menanggalkan topi besinya, wajahnya pucat.

“Tuanku... semua penduduk di situ — mati. Mayat bergelimpangan, Tuanku. Lelaki, wanita, kanak-kanak... semuanya.”

Putera Hugh terdiam “Mati...? Ada serangan?”

“Tiada tanda-tanda serangan, Tuanku. Tidak ada panji musuh, tiada kesan senjata.”

“Di mana Aldric?”

“Ketua sedang menyoal beberapa orang yang masih hidup.”

“Dan penguasa wilayah ini?”

“Turut mati, Tuanku.”

Putera Hugh menghela nafas berat. “Baik. Mari, kita lihat sendiri.”

Rombongan itu menunggang perlahan memasuki penempatan yang sunyi. Setiap rumah seolah-olah ditinggalkan tergesa-gesa. Bau busuk semakin kuat, dan di sepanjang jalan, mayat bergelimpangan — ada yang rentung, ada yang terbelah, dan ada yang masih memeluk anak kecil di dada.

Putera Hugh menundukkan kepala, hatinya berat. “Ini... lebih ngeri dari medan perang.”

Akhirnya mereka tiba di halaman istana batu. Di situ, Aldric sedang berbicara dengan beberapa penduduk yang terselamat.

“Tuanku,” sapa Aldric sambil tunduk.

“Apa yang berlaku di sini, Aldric?” suara Putera Hugh tegas namun bergetar.

Aldric berpaling dan memanggil seorang lelaki muda dengan separuh wajah hingga ke leher terdapat kesan terbakar.

“Berlututlah, hamba. Lelaki di hadapanmu ini adalah Putera Hugh, anakanda Raja Leopold, penguasa Bretagne.”

Pemuda itu segera berlutut. Putera Hugh mengangkat tangan perlahan.

“Bangun. Ceritakan pada beta — apa sebenarnya yang terjadi?”

Pemuda itu mengangkat wajah perlahan.

“Tuanku... semuanya berpunca dari... tengkorak.”

“Tengkorak?”

Putera Hugh berkerut dahi.

“Ya, Tuanku. Tengkorak milik... Lady Andarea.”

Putera Hugh termenung seketika, matanya tajam menatap pemuda itu.

“Tengkorak? Jelaskan pada beta maksudmu.”

Pemuda itu menelan air liur. Suaranya serak, seperti menahan sesuatu yang berat di dada.

“Tuanku, saya hamba kepada penguasa wilayah ini... semua ini bermula kerana hukuman terhadap isteri baginda — Lady Andarea.”

“Hukuman?” dahi Putera Hugh berkerut.

“Ya, Tuanku. Penguasa istana telah memerintahkan supaya Lady Andarea dibakar hidup-hidup... atas tuduhan membunuh adik iparnya serta beberapa bangsawan istana.”

Putera Hugh melangkah selangkah ke hadapan, pandangannya menusuk wajah pemuda itu. “Dan tuduhan itu benar?”

Pemuda itu mengangguk perlahan.

“Benar, Tuanku. Lady Andarea memang membunuh mereka. Tapi bukan tanpa sebab. Mereka yang dibunuh itu... telah membunuh dua orang anak lelakinya.”

Suasana di halaman istana kaku. Angin berhembus membawa bau mayat dan asap lama.

Putera Hugh mengepal tangannya, nadanya tegang. “Dan penguasa istana ini... menghukum isterinya sendiri kerana membalas dendam atas kematian anak-anak mereka?”

Pemuda itu diam menunduk.

“Tuanku... penguasa istana telah jatuh cinta pada pembantu isterinya sendiri. Dialah punca segalanya.”

Putera Hugh berpaling ke arah Aldric, kemudian kembali menatap pemuda itu.

“Berapa lama kamu menjadi hamba di sini?”

“Sejak kecil, Tuanku. Lady Andarea yang menjaga hamba.”

“Siapa namamu?”

“Esmond, Tuanku.”

Putera Hugh mengangguk.

“Baik, Esmond. Ceritakan segalanya. Jangan sembunyikan satu pun dari beta.”

Esmond menarik nafas panjang sebelum memulakan kisahnya. Suaranya bergetar, namun setiap perkataannya membawa beban masa silam yang kelam.

“Hamba anak yatim piatu dari England, Tuanku. Lady Andarea ketika itu juga seorang hamba. Kami berdua dibawa ke wilayah ini oleh tuan kami yang lama. Tapi dalam perjalanan pulang, penguasa istana ini menculik kami... kerana jatuh cinta pada Lady Andarea. Dia mengahwininya secara paksa.” Esmond berhenti sejenak. Matanya berkaca, suaranya perlahan. “Bertahun-tahun Lady Andarea hidup dalam ketakutan. Namun segalanya berubah apabila dua orang puteranya dibunuh — yang sulung diracun, yang bongsu dihumban ke laut. Penguasa istana tidak berbuat apa-apa walaupun tahu siapa dalangnya.”

Putera Hugh mendengus marah. “Lelaki dayus...”

Esmond meneruskan.

“Selepas itu, baginda memaksa anak gadis mereka yang baru berusia sebelas tahun berkahwin dengan adik kandungnya sendiri.”

Putera Hugh bertambah terkejut. “Apa?! Mengahwinkan anak sendiri dengan adiknya?!”

“Benar, Tuanku. Keputusan itu membuatkan Lady Andarea berubah. Dari wanita yang anggun dan lembut... menjadi wanita yang menakutkan. Sejak itu, kematian misteri mula berlaku — adik penguasa, bangsawan, dan siapa pun yang terlibat dalam kematian anak-anaknya... semuanya mati tanpa jejak.”

Putera Hugh mengusap dagunya perlahan. “Adakah kamu pasti Lady Andarea yang melakukannya?”

Esmond terdiam. Bahunya menggigil.

“Hamba... tidak pasti, Tuanku. Tapi malam sebelum semua itu bermula, Hamba terdengar dia berbicara dengan seorang wanita misteri. Wanita itu memujuknya membalas dendam, kononnya lady Andarea mempunyai kuasa untuk ‘menuntut jiwa yang terampas’.”

“Wanita misteri?” Aldric mencelah dengan wajah tegang.

“Ya... dan selepas malam itu, Lady Andarea tidak lagi sama. Dia jarang berbicara, jarang tidur, dan matanya... berubah menjadi hijau terang seperti zamrud di bawah cahaya bulan.”

Esmond kemudian menunduk, tubuhnya sedikit bergetar.

“Hari itu... hari terakhir Lady Andarea hidup.”

Putera Hugh dan para pengawal mendengar dalam diam, hanya suara gagak kedengaran di kejauhan.

“Lady Andarea sedang bermain dengan anak gadisnya di halaman istana. Cuaca cerah, mereka ketawa bersama. Tapi tiba-tiba, sekumpulan penduduk menyerbu masuk dan mengheret Lady Andarea ke tiang kayu.” Esmond menuding ke arah palang kayu hitam masih boleh terlihat dari dalam halaman istana batu.

“Hamba cuba menolong... tapi mereka terlalu ramai. Lady Andarea menjerit kepada hamba — suruh hamba bawa anak gadisnya lari. hamba sempat melarikan diri bersama anak itu. Dalam perjalanan, kami bertemu seorang wanita tua yang menyuruh hamva menyerahkan anak itu kepadanya. Anak itu memanggilnya... ‘nenek’.” Air mata menitis di wajah Esmond. “Hamba menyerahkan anak itu... lalu berlari kembali ke istana. Tapi ketika itu... api sudah marak. Hamba mendengar jeritan Lady Andarea memanggil suaminya... merayu agar diselamatkan. Tapi lelaki itu hanya berdiri — diam, tanpa sekelumit belas kasihan.”

Esmond menekup wajahnya.

“Hamba cuba menembusi api itu, Tuanku... tapi wanita tua itu menarik Hamba, dan ketika itu — Lady Andarea bersumpah. Suaranya menggema di seluruh wilayah ini.”

Esmond mendongak, matanya merah.

“‘Aku menyumpah kamu semua... siapa pun yang menyentuhku, akan ku rampas jiwanya. Akan ku jadikan bumi ini kubur bagi darahmu sendiri.’”

Angin tiba-tiba bertiup kuat, menggoyangkan dahan dan kain lusuh di sekitarnya. Beberapa pengawal menoleh, ada yang menggigil.

Putera Hugh menunduk, wajahnya suram.

“Satu sumpah yang lahir dari hati yang dibakar duka…” Aldric memecah keheningan.

“Tapi bagaimana dengan mayat-mayat ini? Apa kaitan tengkorak yang kamu sebut?”

Esmond menarik nafas panjang. “Kelmarin, Tuanku... adalah hari perkahwinan penguasa istana dengan pembantu Lady Andarea. Penduduk semua berkumpul meraikan. Tiba-tiba, seorang wanita tua muncul — wanita yang sama hamba jumpa dulu. Dia membawa sebuah tengkorak putih. Dia menjerit mengatakan sesiapa yang menyentuh tengkorak itu akan terhindar dari sumpahan Lady Andarea.”

Putera Hugh memejam mata, sudah dapat mengagak pengakhirannya.

“Dan mereka menyentuhnya…”

“Ya, Tuanku. Mereka ketawa, menghina nama Lady Andarea. Tapi sebaik sahaja ke semua penduduk menyentuh tengkorak itu, darah mula mengalir dari mata dan mulut mereka. Seorang demi seorang rebah... sehingga seluruh wilayah ini menjadi seperti sekarang.”

Aldric menunduk, wajahnya pucat. “Tuanku... jika benar Lady Andarea berambut putih seperti perak—”

Putera Hugh menyambung perlahan,

“—maka dia mungkin... dari keturunan wanita itu.”

Aldric mengangguk. “Benar, Tuanku. Sihir lama dari timur laut Bretagne... sihir yang terikat dengan dendam dan jiwa. musuh ketat kepada penyihir kuno merlin,"

Putera Hugh memandang ke arah istana yang suram di bawah cahaya bulan.

“Maka sumpahan itu belum berakhir selagi Tengkorak itu masih ada."

More Chapters